Department of Bioprocess Engineering
Bioprocess Nadi Utama Bioteknologi Print
Rencana Berita Harian (Isnin, 12 Mac 2007)
Oleh Dr Fadzilah Adibah Abdul Majid
 
BIOTEKNOLOGI adalah bidang untuk menjana perkembangan ekonomi negara seperti dirancang kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kerajaan melalui aplikasi bioteknologi dalam sektor pembuatan, berharap dapat dihasilkan pelbagai produk untuk kegunaan perubatan, makanan, pertanian dan pemuliharaan alam sekitar.

Dalam memacu perkembangan bidang bioteknologi, pelbagai disiplin ilmu berkaitan diberi keutamaan seperti kejuruteraan genetik, mikrobiologi molekul dan kejuruteraan bioproses yang dijangka memainkan peranan penting dalam proses penghasilan produk berasaskan bioteknologi.
 
 
Bidang kejuruteraan bioproses pula adalah salah satu cabang daripada kejuruteraan kimia. Kejuruteraan ini diperkenalkan apabila usaha mengkomersialkan hasil kajian bidang bioteknologi perubatan dimulakan sekitar 1970-an. Penghasilan bioproduk seperti insulin memerlukan integrasi ilmu kejuruteraan kimia dengan pelbagai ilmu bidang sains hayat seperti biokimia dan mikrobiologi. Ia kerana bidang ini terbabit dengan penggunaan bahan mentah seperti mikro organisme, sel tumbuhan atau haiwan yang dapat menghasilkan bioproduk.

Integrasi bioteknologi dan ilmu kejuruteraan kimia menghasilkan banyak bioproduk baru. Antara produk yang dihasilkan pada skala industri yang kini ada di pasaran ialah perubatan seperti antibodi, antibiotik, vaksin, kit diagnosis seperti `blood glucose strip' dan `pregnancy test kits'. Bioproduk lain yang dihasilkan menggunakan kejuruteraan bioproses seperti sirup fruktosa, ibu roti (yis), asid laktik, asid asetik (cuka), perisa makanan dan pelbagai jenis enzim.

Kejuruteraan bioproses dalam skop lebih luas sudah wujud seawal tamadun peradaban manusia. Penghasilan keju, roti, minuman beralkohol, buah dan sayuran jeruk, kicap dan pelbagai produk makanan yang melalui proses pemeraman adalah menggunakan teknologi kejuruteraan bioproses.

Teknologi terawal ini dicatat dalam sejarah tamadun Babylon, Mesopotamia, Arab, China dan lain-lain. Teknologi ini bukan saja digunakan untuk menghasilkan produk makanan, malah digunakan bagi sebagai kaedah meningkatkan jangka hayat dan nilai tambah sesuatu sumber makanan.

Selepas Perang Dunia Pertama, pelbagai usaha dilakukan oleh negara Barat untuk menghasilkan produk alternatif bagi memenuhi keperluan sumber makanan, tenaga dan perubatan. Hasil penyelidikan terutama dalam bidang sains hayat dan gabungan revolusi perindustrian menghasilkan pelbagai produk berasaskan bahan biologi seperti penghasilan etanol daripada proses pemeraman sisa tumbuhan, gas metana daripada najis haiwan, gliserol daripada rumpai laut, penghasilan protein satu sel sebagai sumber protein alternatif menggunakan fungus, perisa makanan, penghasilan penisilin dan sebagainya.

Aktiviti biopemprosesan masa kini tidak terhad kepada penghasilan biofarmaseutikal yang dirembeskan oleh mikro organisme melalui kaedah bioteknologi saja. Ia merangkumi pelbagai aktiviti penghasilan produk dan servis yang mengguna pakai bahan mentah berasaskan hidupan sama ada hidupan darat atau laut. Hidupan yang dimaksudkan termasuk mikro organisme, haiwan dan tumbuhan. Sel dan organ manusia juga menjadi bahan yang penting digunakan bagi menghasilkan produk biofarmaseutikal seperti insulin, interleukin, hormon tumbesaran dan sebagainya.

Teruja dengan perkembangan bioteknologi dunia, pada 1990, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mewujudkan Jabatan Kejuruteraan Bioproses yang menawarkan kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Bioproses di bawah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli.

Menurut Prof Dr Zaini Ujang, bekas dekan fakulti berkenaan, kursus yang ditawarkan sejak 16 tahun yang lalu oleh jabatan itu sangat bermakna dan sesuai dengan perkembangan sezaman sebagai asas melahirkan tenaga profesional bidang kejuruteraan bioproses bagi memenuhi keperluan industri bioteknologi negara ketika ini.

Bidang kejuruteraan bioproses ini sedang pesat berkembang untuk memenuhi keperluan pengeluaran produk untuk kegunaan di sektor perubatan, makanan, pertanian dan pemulihan alam sekitar. Jabatan Kejuruteraan Bioproses pertama di Malaysia ini mengeluarkan ramai graduan sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah kejuruteraan bioproses.

Gabungan unik tenaga akademik bidang kejuruteraan seperti kejuruteraan kimia, bioproses, biokimia dan bioperubatan dengan disiplin sains hayat seperti bioteknologi, genetik dan mikrobiologi menjadikan kursus kejuruteraan bioproses di UTM sangat mantap.

Kami sangat gembira dan berbangga kerana didedahkan dengan latihan amali biopemprosesan menggunakan sistem biopemprosesan termaju seperti bioreaktor dan penapis ultra bagi membolehkan kami berpengalaman dengan setiap unit operasi dalam industri bioteknologi.

Pilot Plant Week yang dilaksanakan dengan usaha sama jabatan dan Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) sangat berguna bagi kami. Malah, kursus kami adalah satu-satunya kursus kejuruteraan bioproses di dunia yang memberikan pendedahan kepada biopemprosesan skala industri kepada pelajar, kata Mohamad Ramadan, pelajar tahun akhir Kejuruteraan Bioproses.

Graduan kita sangat diperlukan di luar dan mereka berada dalam pelbagai sektor. Ijazah mereka diiktiraf Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan graduan kita berfungsi dengan berkesan dalam pelbagai industri pemprosesan di dalam dan luar negara, katanya.

Selain ilmu kejuruteraan kimia, pelajar diwajibkan mengambil mata pelajaran asas bidang bioteknologi iaitu mikrobiologi, biokimia, biologi molekular dan kejuruteraan genetik. Pengetahuan khusus menerusi pemprosesan bahan biologi seperti fermentasi, biopemisahan dan sebagainya sesuai bagi industri biofarmaseutikal dan pemprosesan makanan.

Kepelbagaian kaedah pembelajaran yang digunakan dalam menyampaikan ilmu selama empat tahun di UTM ini berjaya menyampaikan ilmu pengetahuan khusus dan kemahiran generik kepada pelajar membolehkan graduan berkerjaya dalam pelbagai bidang.

Sebahagian alumni Kejuruteraan Bioproses kini menjadi tenaga akademik bidang kejuruteraan bioproses di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), ada yang berkhidmat dalam bidang penyelidikan di institusi penyelidikan negara dan berkhidmat di industri petroleum dan gas. Tidak kurang juga yang menyambung pengajian pada peringkat pasca siswazah sebaik
saja tamat ijazah sarjana.

Kejuruteraan Bioproses mesti dikembangkan dengan sinergi bidang teknologi kejuruteraan produk makanan, teknologi pemprosesan produk herba, teknologi kejuruteraan biomedikal, teknologi biosensor, kejuruteraan formulasi dan sebagainya. Integrasi ini penting bagi memastikan bioproduk yang dihasil daripada industri biopemprosesan dapat dijadikan produk akhir bernilai tinggi yang akan memberi pulangan berganda kepada pelaburan besar Malaysia dalam bidang bioteknologi.
 
 
< Prev   Next >