MELAKUKAN PERSEDIAAN AWAL

Bab ini memberi suatu cara untuk melakukan persediaan awal.  Anda patut memulakan kajian dengan menyediakan rangka kasar dan diikuti dengan Cadangan Kajian yang lebih terperinci. Fungsi rangka atau ‘framework’ adalah untuk mengarah kajian ke suatu sasaran. Apabila lebih banyak bacaan literatur dan perbincangan telah dibuat, rangka akan diisi dengan butir butir lanjut untuk menjadi Cadangan Kajian. Samada anda menyediakan Rangka Kajian atau Cadangan Kajian,  kandungan  kedua dua dokumen ini mestilah memberitahu pembaca apa yang anda akan buat, kenapa, bagaimana dan hasil yang anda jangka boleh dapat. Dalam bab ini perkataan seperti skop, objektif dan justifikasi diperkenalkan.

 

1.1 Memulakan Kajian

Kita boleh menganggap usaha menyediakan tesis ini sebagai satu perjalanan. Oleh itu kita perlu membuat peta dan menyediakan sempadan  supaya tidak tersesat dalam perjalanan ini. Contoh rangka penyelidikan diberi dalam Jadual . Kandungannya pada awal penyelidikan seperti pada minggu kedua atau ketiga, hanya memberi petunjuk untuk anda membuat kajian literatur seterusnya. Pada minggu kelima atau keenam, rangka ini akan lebih padat seperti dalam Jadual 1.2. Seterusnya pada akhir semester, cadangan yang terperinci perlu siap. Kajian patut dimulakan dengan dua langkah:

a)         Pecahkan kajian kepada masalah masalah kecil yang lebih mudah untuk ditangani.

Di sini cara yang diajukan  ialah untuk pelajar menanya soalan soalan berikut:

1.      Kenapakah ianya perlu dikaji?

2.       Apakah yang hendak dikaji?

3.      Bagaimanakah hendak menjalankannya?

4.      Hasil atau apakah yang hendak dicapai?

b)         Mulakan kajian literatur secepat mungkin

Untuk menjawab soalan soalan tersebut, kita memerlukan maklumat. Untuk mendapatkannya, penyelidik boleh membaca, menanya, berbincang dan lain lain. Kaedah membuat kajian literatur diberi dalam $Bab 4. Anda dinasihatkan supaya bermula dengan membaca buku teks untuk mendapat pengetahuan asas dan fahaman yang mencukupi mengenai tajuk anda sebelum membaca jurnal agar tidak mengeliru dan menakutkan diri .

c)         Berbincang

Anda perlu mengambil masa untuk ‘brainstorm’ samada berseorangan, bersama pelajar tahun atasan atau sesiapa yang mungkin memberi pandangan yang dapat menolong. Walaubagaimana pun jangan mengambil terlalu lama berbincang kerana jikalau anda hanya banyak mendengar dan membaca maka anda mungkin merasa tenggelam timbul dalam maklumat yang sebegitu banyak. Oleh itu, semasa membaca dan berbincang anda mesti cuba mengaitkan bahan bacaan dan meletakkan sebanyak mana yang terfikir tentang tajuk anda. Jangan guna alasan ‘saya mengumpul maklumat’ sebagai alasan melengahkan kajian sebenar. Ramai pelajar terperangkap disini.

Apabila kita cuba menjawab soalan soalan yang di atas, soalan lain pula akan timbul. Oleh itu, hanya jawapan kasar yang mengisi satu atau dua muka surat boleh dijadikan rangka kerja pada tahap awal perancangan supaya kekeliruan dapat dikurangkan. 

1.2 Cadangan Kajian

Bagi pelajar yang mengambil matapelajaran projek untuk dua semester, laporan pertama adalah Cadangan Kajian. Laporan ini dianggapkan suatu dokumen yang memberitahu pembaca perancangan anda untuk projek ini dan perlu mempunyai maklumat yang mencukupi. Seperti sebuah ‘manual’,  Cadangan Kajian dibuat dengan anggapan orang lain boleh menjalankan kajian anda dan menganalisis hasilnya  jika diberi dokumen ini. Ada yang menganggapkan Cadangan Kajian hanyalah perancangan yang boleh diubahsuai semasa penyelidik menjalankan kajian kerana mungkin berlaku perkara yang tidak dirancang atau hasil yang diperoleh tidak memuaskan.  Anggapan sebegini mungkin menyebabkan anda bertukar arah semasa kajian dijalankan dan tesis anda tergendala.

1.3 Menjalankan Ujikaji

Apabila sampai ke tahap ini, anda sudah tahu apa yang hendak dilakukan dan pertimbangan hendaklah diberi kepada pengumpulan data dari ujikaji anda. Biasanya ini dimulakan pada semester kedua, tetapi persediaannya seperti membeli alat, bahan gunabis dan mendapat data perlu dimulakan pada semester pertama lagi. Di sini aspek aspek yang ditekankan adalah  kaedah ujikaji, kejituaan pengukuran,  keselamatan dan analisis data. Masalah mungkin timbul dari segi peralatan, bahan dan kemudahan, oleh itu jika baik  persediaan awal anda semasa menyedia cadangan kajian, maka opsyen opsyen lain telah diambilkira untuk mengatasi masalah yang timbul. Pada masa ini juga anda patut menganalisis data dan menulis Bab Perbincangan Hasil Kajian kerana jika perlu diulangi mana mana ujikaji, anda boleh melakukannya sebelum terlewat. Tidak guna bagi seorang penyelidik mendapat banyak data yang tidak boleh dibuat kesimpulan.

1.4 Menulis Tesis

Walaupun pelajar mengikut tatacara yang telah dicadangkan dalam nota ini, tugas menulis ini masih lagi memerlukan banyak masa. Ini disebabkan anda terpaksa menyatukan bahagian bahagian yang telah diselesaikan untuk mendapat suatu gambaran penuh. Umpamanya anda telah mengukur kesan kesan suhu terhadap suatu bahan  dan sekarang perlu bertanya samada jawapan anda ini betul. Sebahagian kerja menulis tesis adalah untuk membuat perbandingan dan mengsahihkan hasil yang telah diperolehi dengan kajian orang lain atau apa apa lagi cara yang anda telah pilih sebelum ini. Format untuk menulis tesis bergantung kepada institusi pelajar dan banyak buku buku yang boleh dirujukkan$(ref). Bab 9 memberi garispandu kasar untuk perbincangan hasil kajian.

1.5 Cara Menentu Perkara Yang Akan Dikaji

Untuk perbincangan, kita ambil contoh, ‘Kajian Kesan Suhu Terhadap Kelikatan Minyak Mentah Malaysia’. Walau pun pelajar mungkin telah tahu secara am bahawa kelikatan menurun apabila dipanaskan, perkara lain seperti komposisi minyak, cara mengukur, cara ramalan perlu didalami.

1.5.1 Memahami Dan Mengenalpasti Kata Kunci Atau Perkataan Petunjuk

Langkah  pertama ialah mengenalpasti kata kunci atau perkataan petunjuk seperti perkataan suhu dan kelikatan dalam tajuk contoh.  Dalam contoh ini, bahan yang hendak dikaji ialah minyak mentah. Bersama dengan huraian yang diberi oleh pensyarah, anda lakukan kajian literatur untuk  mencari maklumat tentang kelikatan secara am dan kelikatan minyak mentah secara khusus.  Antara maklumat yang anda cari harus ialah cara cara mengukur kelikatan dan suhu, jenis jenis bendalir, cara cara mengira kelikatan, tingkahlaku dan komposisi minyak mentah.  Ramai pelajar yang tidak bersedia pada tahap ini  memulakan pencarian terhadap kaedah, peralatan dan lain lain sebelum memahami dengan mendalam perkataan penting dalam tajuknya. Ini menyebabkan mereka membuat pilihan,  katakan kaedah dan mengambil tindakan seperti memulakan ujikaji, tanpa mengetahui dengan mencukupi akan perkara yang hendak dikaji.

Bagi contoh harian, anda mungkin disuruh oleh emak anda (yang mempunyai perangai ingin tahu) untuk  mengkaji kesan rempah terhadap masakan dalcanya. Secara automatik, anda akan bertanya  tentang rempah dan resipi dalca yang dimaknakan emak anda, iaitu kata kunci kepada kajian anda. Tetapi jika anda terus membeli rempah dimana mana kedai dan membeli buku masak untuk mula memasak, mungkin buku masak itu tidak mempunyai resipi yang telah dicuba dan rempah yang anda pilih itu sudah diuji oleh emak anda. Begitu juga dalam sebarang kajian kejuruteraan, mengguna masa yang mencukupi untuk memahami dan mengumpul maklumat tentang topik anda akan menolong pelajar dari bergerak selangkah ke hadapan dan terpaksa berpatah balik dua langkah.

1.5.2 Mencari Peluang Mengkaji

Dari artikel artikel dalam jurnal, anda akan dapati bahagian bahagian yang belum dikaji atau tidak dilapor oleh orang lain. Ini merupakan peluang bagi anda melakukan kajian. Kadang kadang suatu bahagian kecil dan mudah dari artikel  bertaraf antarabangsa didapati bersesuaian untuk dikaji oleh pelajar Sarjana Muda. Mungkin bagi contoh yang di atas, minyak dari  lapangan yang belum diuji  boleh diguna dalam kajian. Boleh jadi,  anda dapati belum ada persamaan yang mengaitkan suhu dan kelikatan minyak Malaysia. Jika pelajar  memutuskan untuk mengukur kelikatan pada keadaan genting untuk sampel sampel yang diambil dari beberapa telaga dalam satu lapangan, maka saiz kajian atau skop telah ditentukan. Kebiasaanya ada dalam sesuatu tesis suatu bahagian yang mencadangkan kajian untuk masa hadapan. Pelajar boleh mempertimbangkan cadangan cadangan tersebut. Langkah yang seterusnya ialah berbincang dengan pensyarah/penyelia. Buat perubahan jika perlu.  Kadangkala ada pensyarah yang menentukan apa yang hendak dikaji dari awal lagi, tetapi pelajar masih lagi bertanggungjawab samada kajian itu tidak hanya mengulangi kajian penyelidik lain. Sekarang, anda telah siap menyediakan rangka kasar.

1.5.3 Justifikasi Kajian

Untuk menyediakan Cadangan Kajian, seseorang akan bertanya kenapa perlu dikaji akan tujuan, skop dan aspek aspek kajian yang lain yang pelajar telah sediakan. ‘Tak kisahlah Puan, janji dapat ijazah’. Jawapan sebegini walau pun lucu, dan agak menyedihkan seorang penyelia, tidak dapat menolong anda dalam penyediaan tesis.  Oleh kerana banyak daya usaha diguna dalam menyelidik dan menyediakan tesis maka kajian yang pelajar lakukan seharusnya mempunyai kepentingan serta dapat menyumbang kepada badan ilmu walau pun sedikit. Tidak ada guna bagi penyelidik mengukur perkara perkara yang tidak penting atau mengulang kajian orang lain tanpa sebab sebab menambahkan ilmu tetapi hanya untuk mendapat ijazah.Walaupun soalan  ini dibentang selepas menentukan apa hendak dikaji, sebenarnya soalan ini ditanya serentak.  Umpamanya, anda bertujuan mengkaji kelikatan minyak mentah Malaysia kerana tiada data tersebut yang dilaporkan dalam literatur dan data itu diperlukan untuk bidang penyelakuan reservoir. Atau pun kaedah yang kurang memuaskan telah digunakan dalam kajian sebelum ini dan anda ingin meningkatkan cara pengukuran.

Format laporan yang anda hendak sediakan mungkin mempunyai bahagian penyata masalah. Justifikasi kajian boleh dibentangkan sebagai masalah yang perlu diselesaikan kerana ianya memberi sebab sebab anda mahu membuat kajian tersebut. Ada juga format menetapkan bahagian ‘hipotesis’ dan seperti penyata masalah, bahagian ini boleh dihasilkan dari pertimbangan sebab sebab kajian.

Pada tahap ini juga jika pelajar berjumpa aspek kajian yang lebih diminati, maka tajuk penyelidikan mungkin diubahsuai. Perlu diingatkan sebelum mengubahsuai tajuk, pelajar mestilah berbincang dengan penyelia dan bukti kukuh perlu ada. Biasanya  penyelia tesis sudah mengkaji kepentingan tajuk tesis Sarjana Muda tetapi pelajar masih lagi boleh berbincang dan mengutarakan pandangannya. Berikut diberi beberapa contoh justifikasi kajian:

Kaitan lelurus bagi ketumpatan bendalir hidrokarbon dengan tekanan dibentangkan oleh A dengan menggunakan minyak mineral sebagai bahan ukuran . B pula membuat kajian pada minyak mentah yang berkelikatan tinggi dan menghasilkan persamaan tidak lurus. Oleh kerana, pengukuran dibuat pada keadaan atmosfera, nilai ketumpatan pada suhu reservoir yang biasanya melebihi 80oC perlu diekstrapolat dengan menggunakan persamaan yang sesuai. Oleh itu kajian ini yang mengkaji kaitan ketumpatan dan kelikatan bendalir hidrokarbon dengan tekanan pada suhu suhu tinggi diperlukan.

Tulisan di atas menunjukkan tingkahlaku ketumpatan yang bercanggah dan perlu diperjelaskan serta bahagian suhu tinggi yang belum dilaporkan dalam literatur.

Banyak kajian telah menunjukkan kejatuhan kelikatan polimer apabila suhu dinaikkan [Ahmad,90, Ali,91, Ah Kow,92]. Walau bagaimanapun kesan suhu semasa menganjak minyak belum banyak dilaporkan. Kajian ini mengkaji kelikatan polimer dari 60 oC hingga 100 oC  bagi beberapa polimer yang mempunyai berat molekul yang  berbeza.

Jumlah perkataan atau mukasurat bergantung kepada sebab dan latar belakang yang anda ingin sampaikan.

1.5.4 Memilih Metodologi Kajian

Soalan “bagaimana hendak melaksanakan kajian?” akan menghasilkan metodologi atau kaedah kajian. Kajian literatur sekarang hendaklah menekankan cara ujikaji, mengukur, peralatan dan lain lain perkara yang berkaitan dengan melakukan ujikaji. Dapatkan beberapa kaedah jika penyelia anda belum menentukan caranya. Umpamanya  suhu hendak diukur melalui serap optik kerana satu daripada objektif anda ialah mengkaji kejituan alat serap optik. Pilih model yang akan digunakan, seperti menggunakan teras $consolidated berbanding dengan teras $unconsolidated untuk banjiran air. Proses yang akan digunakan jika berkaitan haruslah dipilih sekarang. Contohnya pelajar mungkin perlu memilih proses aliran mantap atau tidak mantap bagi ujikaji aliran bendalir. Bahagian metodologi  ini menentukan (a) alat  (b) ujikaji dan kerja pengukuran  (c) data yang dikumpul. Ada tesis yang tidak memerlukan alat fizikal tetapi masih lagi memerlukan  pengaturcara atau persamaan matematik, dalam kata lain dipanggil ‘soft tools’. Bab 6 memberi aspek aspek rekabentuk ujikaji yang patut diambilkira.

Jika anda memilih radas yang direkabentuk sendiri maka kesesuaiannya harus diselidiki dengan meggunakan cara analisis dimensi dan sebagainya.  Kos pembinaan dan bekalan bahan binaan perlu disenaraikan. Alat sokongan seperti paip, injap dan lain lain pastikan boleh didapati. Jika ujikaji menggunakan alat besar,  keadaan alat dan orang yang mahir dalam penggunaannya dikenalpasti dari awal. Jika  cara  atau radas yang dipilih telah diterima pakai, pelajar masih lagi mesti selidiki kesesuaiannya . Jika anda membangun perisian, alat pembangunan mestilah ada atau akan dibeli.

Kajian yang hanya mengguna data sekunder  tidak mempunyai masalah peralatan tetapi punca data seperti kertas kerja atau tesis atau pun banci hendaklah didapatkan dari awal. Memandangkan. masa untuk menjalankan kajian anda sangat terhad, apabila merekabentuk alat, anda dinasihatkan menumpu kepada bahan dan komponen yang ada dalam makmal atau yang mudah didapatkan.

Cara yang biasa digunakan dalam merekabentuk ujikaji dan model diberi dalam $Bab 5 dan Bab 6. Jawapan am patut merangkumi

1.       mengenalpasti alat atau model yang hendak digunakan

2.      lakaran kasar model atau sistem yang hendak dibangun atau dibeli

3.      jika model matematik  maka beberapa  jenis model perlu dikumpul

4.      senaraikan keperluan sokongan seperti khidmat pakar atau  juruteknik.

5.      mengenalpasti  ujikaji atau proses yang akan dijalankan

1.5.5 Menentukan Jadual Kerja

Anda dapat menentukan jadual kerja dengan menanya bila aktiviti kajian dan berapa lama dilakukannya.  Soalan ini sering diabaikan pelajar. Walau pun ianya hanya mengambil masa yang sedikit  dan jadual mungkin  terpaksa diubah dari masa ke masa, kewujudannya memberi penyelidik panduan kerja yang nyata. Apabila jadual kerja tidak disediakan, kepentingan membuat persediaan awal tidak dapat dilihat seperti pembelian, mendapat data dari syarikat atau membuat temujanji dan lain lain perkara yang diluar kawalan pelajar. Masa banyak terbuang bila alat lambat sampai.  Banyak perisian murah seperti ‘shareware’ atau ‘freeware’ yang boleh digunakan untuk menyediakan rajah PERT atau yang serupa.

1.5.6 Pemilihan Hasil Kajian

Anda perlu tanya hasil apakah yang dikehendaki pada akhir kajian.

Walau pun  soalan ini diletak diakhir senarai, bukan bermakna ianya ditanya selepas semua soalan lain. Selepas menentukan ‘apa yang hendak dikaji?’, hasil kajian boleh dikenalpasti. Umpamanya, bila objektif kajian ialah untuk membukti kelikatan bertingkahlaku lelurus bagi suhu dibawah 60oC, maka hasil yang mahu dicapai ialah rajah kelikatan lawan suhu  yang menunjukkan bentuk lurus.Semasa merekabentuk alat, hasil yang dikehendaki perlu diambilkira. Yang penting, sekurang kurangnya anda boleh mencapai setiap objektif dengan hasil hasil kajian anda.

1.6  Rumusan

1.      Pada tahap ini, anda sudah mempunyai Cadangan Kajian. Perlu diingat bahawa perubahan mungkin akan dilakukan pada cadangan ini , tetapi cadangan yang baik akan melibatkan perubahan kecil saja seperti menukar minyak mentah dari lapangan A ke minyak mentah dari lapangan B bagi contoh di atas. Ada pelajar dan malangnya pensyarah memandang remeh terhadap persediaan rangka kerja atau dalam perkataan lain perancangan penyelidikan. Hasilnya jelas dilihat. Sebagai contoh, sekiranya anda mahu mengkaji perubahan sesuatu polimer apabila terkena cahaya matahari. Jikalau polimer yang dipilih tidak sesuai, mungkin ianya mengambil masa 6-7 bulan untuk menunjukkan sebarang perubahan sedangkan anda hanya mempunyai 8 bulan untuk menyediakan tesis anda. Pada akhirnya anda tiada apa untuk ditulis, dirumus, dianalisis.

2.      Langkah pertama dalam kajian ialah untuk menyediakan rangka kasar dan seterusnya  mengisikan  rangka itu secara terperinci untuk mendapat Cadangan Kajian. Rangka kerja dan cadangan mungkin dan biasanya diubah semasa penyelidikan dijalankan, tetapi jika perancangan dilakukan dengan baik,  hanya hal yang kecil sahaja perlu diubahsuai. Rajah 1.1 menunjukkan proses yang diikuti untuk mendapat rangka kerja dan Cadangan Kajian.

$Bab 3 memberi huraian yang lebih mendalam terhadap istilah seperti skop, objektif dan lain lain.

1.7 Latihan

1.      Kenalpasti perkataan perkataan petunjuk dalam tajuk anda.

2.      Tuliskan secara senarai atau esei apa yang anda tahu tentang perkataan perkataan  tersebut.

3.      Bacakan beberapa buku teks dan artikel dari jurnal jurnal lama jika pengetahuan anda tidak mencukupi.

4.      Dapatkan beberapa artikel  yang lebih terkini yang berkaitan dengan perkataan petunjuk dalam tajuk anda.

5.      Apakah yang belum dikaji mengenai tajuk anda?

6.      Apakah kekurangan kajian kajian sebelum ini seperti dari segi julat, kaedah,peralatan atau anggapan anggapan yang digunakan ?

7.      Mulakan persediaan  Cadangan Kajian.