back to index

BAB 1 KAJIAN LITERATUR DAN TEORI

Beberapa bahan bacaan serta contoh contoh teori yang patut dikaji untuk sesuatu penyelidikan dibincangkan dalam bab ini. Tujuan bab ini ialah mencadang cara cara untuk memfokus pencarian literatur dan pembangunan teori kepada kajian yang dilakukan. Pelajar banyak mengambil masa melakukan pengumpulan maklumat dari penyelidikan dan sumber sumber lain sebelum menjalankan kajian. Oleh itu, cara yang tidak tertumpu dapat melalaikan pelajar dari menjalankan kajiannya, selain dari mengkaji bahan bahan yang tidak releven.

Mengumpul Maklumat Lawan Kajian Literatur

Dalam Bahasa Inggeris ‘Literature Review’  dalam kerja penyelidikan disamakan dengan mencari maklumat dari bahan penulisan atau ‘literature’. Ada juga yang menggunakan frasa ‘Literature Search’ yang lebih tepat pada awal penyelidikan kerana anda hanya membaca dan mengumpul maklumat. Apabila anda bersedia untuk menyediakan rangka kasar, Cadangan Kajian dan seterusnya tesis, maklumat yang diperolehi mestilah dipertimbangkan, dikaji dan dibahaskan sebelum diterima untuk kajian anda dan frasa Kajian Literatur adalah lebih sesuai.  Oleh itu, pelajar akan dapati yang  Kajian Literatur dimaknakan mengumpul maklumat dan mengkaji maklumat pada seluruh masa penyelidikan.

Langkah Langkah kajian Literatur

Bagi pelajar tahap PhD dan kebanyakan tahap Sarjana yang mengikuti program penyelidikan sepenuh masa mungkin hanya bidang kajian yang diberi. Oleh itu, tajuk tesis dicadangkan oleh pelajar sendiri. Bagi tahap sarjana muda, tajuk kajian disediakan oleh penyelia. Walau pun berbeza, langkah pertama masih lagi melibatkan mengumpul maklumat yang releven.

4.1 Memantapkan Fahaman

Sebagaimana yang dibentangkan dalam Bab 2, pada tahap awal anda perlu memantapkan fahaman terhadap prinsip dalam tajuk atau bidang anda dengan membaca buku teks.  Ini disebabkan mengulangkaji perkara perkara yang berkaitan menolong anda memahami artikel penyelidikan yang biasanya lebih tinggi tahap ilmunya. Kadangkala buku teks yang lama memberi konsep konsep dengan lebih mudah daripada buku yang baru. Ini disebabkan kajian baru telah dimasukkan ke dalam buku teks yang lebih baru. Oleh itu, anda perlu menanya apakah yang anda tidak tahu.

Umpamanya bagi tajuk ‘ Penggunaan Tenaga Dalam Penyelidikan Tahun Akhir’. Diantara perkara yang anda perlu tahu ialah cara mengira tenaga. Buku asas termodinamik boleh menolong anda dalam mengingat balik akan konsep joule, kalori, kuasa kuda dan watt. Pada masa yang sama anda boleh mencari artikel dalam jurnal penyelidikan. Walaubagaimana pun , topik seperti dalam contoh ini memang tertumpu kepada kumpulan tempatan dan tidak mungkin anda akan mendapat data daripada jurnal penyelidikan antarabangsa. Kemungkinan anda akan mendapat kajian yang setara dalam laporan teknikal sesebuah universiti. Jika tiada, anda perlu balik kepada tujuan tajuk itu. Katakan pelajar tahun akhir terlalu banyak menggunakan letrik dalam ujikaji mereka. Maka perbandingan dengan penggunaan letrik di tempat lain tidak begitu penting. Yang penting ialah cara mengurangkan penggunaan, oleh itu kajian literatur dan teori untuk topik anda sepatutnya menumpu kepada jenis aktiviti yang dibuat oleh pelajar tahun akhir, mengenalpasti pembaziran jika ada dan cara mengatasinya.




Pada suatu masa dulu persamaan Redlich-Kwong, ia itu sebuah persamaan keadaan dikaji dengan begitu luas. Persamaan asas adalah seperti berikut:

 


R seperti biasa ialah pemalar gas universal. P,V dan T pula ialah  masing masing tekanan, isipadu dan suhu. a dan b adalah pemalar. Dalam masa tiga puluh tahun persamaan itu dibentang, lebih daripada 100 artikel telah dilapor dalam literatur dan jumlah ini tidak termasuk kajian tesis yang tidak dibentang. Kebanyakan penyelidikan mengubah nilai  pemalar a dan pemalar b. Ada juga menambah beberapa pemalar lagi untuk menghasilkan ‘a new and improved equation’. Walau apa pun tujuan mereka, penyelidik perlulah mengetahui persamaan asal dengan baik sebelum diubahsuai.

Jika topik tesis anda adalah ’Persamaan Keadaan Untuk Sistem Multikomponen’ dan penyelia anda sudah menyediakan persamaan keadaan tersebut. Anda ditugas untuk membuktikan persamaan itu baik atau yang terbaik. Mungkin anda diberi persamaan Redlich-Kwong dan anda perlu membuktikan bahawa ianya baik untuk sesuatu campuran gas. Anda patut rujuk kepada buku buku teks dan jurnal untuk mengumpul jenis jenis persamaan keadaan bermula dari sistem satu komponen supaya faham kelemahan dan kelebihan beberapa persamaan keadaan sebelum mencuba persamaan multikomponen.

4.2 Teori dan Kajian Literatur

Semasa penulisan anda boleh mengasingkan teori dan hasil kajian penyelidik lain, tetapi ramai juga penyelidik yang meletakkan kedua duanya dalam Kajian Literatur. Sebagai contoh, kita lihat teori disebalik kajian ‘Penyelakuan Banjiran Polimer Untuk Minyak Mentah Malaysia’.

Pertama kita mahu maklumat tentang penyelakuan. Sekiranya penyelaku minyak hitam iaitu program komputer digunakan, ianya merupakan alat kajian dan maklumat pembentukan alat itu akan dicari. Persamaan matematik yang mewakili penyelaku minyak bergantung kepada kaedah perbezaan. Jumlah fasa dan jumlah arah pengaliran bendalir juga menentukan persamaan yang digunakan. Oleh itu pembangunan penyelaku minyak hitam dimasukkan ke bahagian teori supaya penyelidik tahu akan kelemahan dan kebaikan ‘alat’ yang digunakan.

Kedua, kita  soal apakah banjiran polimer? Ianya melibatkan suntikan larutan polimer untuk menyesar minyak mentah. Kelainan kelikatan minyak mentah dan polimer menimbul perubahan kepada corak pengaliran bendalir. Begitu juga kesan suhu reservoir  yang panas dan bertekanan tinggi akan memberi kesan kelikatan polimer.

Ketiga  kandungan dan ciri ciri  minyak mentah Malaysia yang kebanyakannya jenis paraffin perlu diketahui. Kesemua maklumat asas ini dirangkumi dalam teori dan akan menolong penyelidik menganggar hasil kajian dengan baik.

Kadangkala pelajar terlalu banyak mengkaji teori sehingga perkara yang tidak ada kaitan pun diambilkira. Umpamanya dalam contoh diatas, ada kemungkinan pelajar mengkaji berbagai jenis penyelaku minyak, cara cara menyediakan pengaturcara, berbagai jenis polimer yang tidak sesuai untuk banjiran polimer serta jenis jenis minyak yang tidak didapati di Malaysia. Oleh itu, semasa mengumpul teori dan maklumat lain, penyelidik haruslah serentak memikir tentang skop atau objektif dan lain lain langkah dalam rangka kajian. Dengan itu  perbuatan yang tidak menambah kebaikan kajian boleh dielakkan. Ada juga kes yang mana pelajar tidak mengambilkira teori dengan mencukupi. Umpamanya jika penyelaku yang digunakan hanya sesuai untuk banjiran air  dan pengubahsuaian tidak dilakukan maka kajian bukan lagi mengenai banjiran polimer dan ini bermakna Objektif atau Tajuk tesis tidak ditepati. Sekiranya kesan suhu terhadap polimer tidak diberi penekanan, kelikatan polimer akan berubah setelah disuntik ke dalam reservoir.  Oleh itu pengiraan yang mengabaikan perubahan kelikatan akan menghasilkan keputusan yang berbeza.

4.3 Pengumpulan Data Sekunder

Teori bagi penyelidikan yang bergantung kepada data sekunder juga perlu difahami dengan baik. Katakan anda dikehendaki membanding beberapa persamaan keadaan untuk sistem dua fasa dan banyak komponen. Anda hanya mempunyai satu semester untuk menjalankannya. Oleh itu, anda hanya boleh membuat bandingan berasaskan data yang telah diukur oleh penyelidik lain atau dari pengiraan menggunakan K, pemalar seimbangan. Jika data diambil dari penyelidikan lain, sistem yang digunanya harus sama dengan sistem yang anda kaji, seperti komposisi, tekanan dan suhu. Anda juga terpaksa menganggap data itu diambil dengan baik. Jika data didapatkan melalui pengiraan seimbangan, kejituan data bergantung kepada nilai K. Walaubagaimana pun banyak kajian telah dijalankan terhadap nilai nilai K dan anda boleh percaya kepada nilai yang ada dalam jurnal jurnal. Ini adalah bahagian teori yang pelajar mesti mengambilkira kerana keseluruhan kajian anda bergantung kepada kepercayaan data yang dikira secara seimbangan. Oleh itu teori mengenai K dan cara menggunanya akan membenar anda menganggar ralat dalam hasil kajian anda.

Banyak manakah teori yang hendak dipertimbangkan? Dari contoh di atas jelas faktor yang akan memberi kesan kepada hasil kajian dianggap mustahak dan hendaklah dipertimbangkan semasa merangka kajian. Tujuan utama adalah untuk pelajar memahami bahan yang akan dikaji supaya pelajar dapat membanding dan menganalisis kajian penyelidik lain.

4.4 Teori dan Hasil Penyelidikan

Apakah teori dan apakah hasil penyelidikan? Teori kebiasaannya fahaman asas yang tidak dipertikaikan lagi. Secara tidak langsung, pada awalnya teori adalah hasil kajian seseorang, contoh, hukum Boyle, hukum Ohm, persamaan Darcy. Hasil penyelidikan merangkumi kajian yang lebih terkini dan konsep konsep yang mungkin belum diterima oleh kebanyakan penyelidik atau pengguna. Sebagai contoh, konsep menyelesaikan persamaan matematik secara berangka sudah lama diterima dalam matematik. Penggunaannya dalam bidang petroleum bermula pada tahun 50 an. Apabila keupayaan komputer bertambah, pendekatan pendekatan cara berangka semakin banyak dilaporkan dan makin bertambah penggunaannya. Satu cara yang digunakan dengan luasnya ialah cara IMPES. Cara IMPES memerlukan masa komputer yang panjang tetapi memori yang sedikit. Oleh itu dengan wujudnya komputer berupaya tinggi yang murah harga, cara ini dijangka diabaikan, tetapi ianya masih lagi diguna kerana kebaikannya yang lain. Cara ini juga sudah dikaji dengan banyak dan sekarang diajar dalam teori penyelakuan reservoir.

Bagi menentukan secara terperinci perkara yang akan diselidik, pelajar perlu tahu apakah yang belum dikaji atau  sekiranya sudah dikaji, hasil kajian dari satu penyelidik  bercanggah dengan hasil penyelidik lain. Mungkin cara yang digunakan boleh dibaiki atau persamaan yang dibangunkan mempunyai ciri ciri yang lebih diperlukan. Sebab itu, kita sering berjumpa artikel yang bertajuk  ‘improved’ atau ‘better’ atau ‘faster’  untuk menunjukkan kelebihannya. Oleh itu perbandingan hasil hasil penyelidikan dapat memberi anda skop atau objektif kajian dan juga kepentingannya  Penyelidik bukan sahaja perlu membaca jurnal pada masa menyediakan  objektif tetapi dari awal hingga siap tesis supaya pencariannya tidak menjadi lapuk. bila siap. Walaubagaimana pun bagi pelajar tahap Sarjana Muda, kajian yang melibatkan isu kontroversi atau perlu hasil yang cepat jarang dibuat dan tidak patut dibuat.  Oleh itu walaupun mengikut perkembangan semasa merupakan amalan yang baik, ianya tidak genting seperti tahap pasca sarjana.

4.5    Cara Mencari Maklumat

Bagi pelajar tahap sarjana muda memang susah untuk membeza dan membandingkan penyelidikan dan mencari kelemahannya sedangkan kebanyakan artikel bertahap yang tinggi. Oleh itu, sasaran penyelidikan tidak perlu sampai ke tahap artikel dalam jurnal secara menyeluruh. Yang biasa dilakukan ialah mencari bahagian kecil yang boleh dilakukan ke tahap yang mencukupi. Contoh, jika ujian mengunakan minyak mentah berat dan berbagai ciri diuji. Anda boleh mengunakan minyak yang ringan dan beberapa ciri sahaja. Pada masa ini, bimbingan dari penyelia dan perbincangan dengan ahli penyelidik lain adalah penting.

Satu cara yang boleh menolong anda ialah menyediakan jadual untuk merumuskan kertaskerja yang anda baca. Bahagian komen adalah analisis anda terhadap kajian dalam artikel tersebut seperti dari aspek metodologi, hasil, kejituan pengukuran, peralatan dan lain lain yang anda ingin gunakan.

Jadual 1.1  Merumuskan Artikel Dalam Bentuk Jadual

Tajuk & penulis

Metodologi

Hasil

Komen

‘Statistics for petroleum engineers and geoscientists’

Jensen et al

 

(Buku)

Cara cara analisis secara statistik diberi. Analisis ‘single variate’ , ‘bivariate’ dan ‘multivariate’ diberi.  Cara ini boleh mengurangkan jumlah ujikaji dan mempercepatkan kajian. Hasil kajian juga akan lebih berguna kerana kejituan boleh dianggar dari cara statistiks.

 

Cara ‘bivariate’ ada potensi untuk digunakan kerana mudah dari ‘multivariate’ dan dapat mempercepatkan kajian lebih daripada ‘single variate’

           

Satu cara lagi ialah membuat rumusan atau abstrak anda sendiri secara yang anda faham. Sebaiknya anda merujuk kepada kertaskerja masakini. Walaubagaimana pun, ada juga kajian yang tidak menarik perhatian penyelidik lain dan tidak dikaji dengan luas. Contoh, banjiran polimer dalam industri petroleum telah ditinggalkan oleh penyelidik barat kerana tidak menunjukkan perolehan yang diharapkan. Sekarang, dengan menggunakan polimer yang berat molekul mencapai 3-4 juta, penyelidik negara Cina telah berjaya menambahkan perolehan.

Jika rujukan tidak dibuat atau tidak mencukupi, anda mungkin membuat perkara yang sudah dibuat oleh ramai pengkaji seperti mengkaji persamaan Redlich Kwong. Masalah dalam merujuk kepada artikel ialah penyelidikan yang tidak berjaya tidak dilaporkan. Di sini, pengetahuan mengenai teori sangat diperlukan supaya anda tidak cuba membuat sesuatu yang jelas menentang teori.

4.6 Sumber Untuk Kajian Literatur

Buku, tesis dan jurnal adalah sumber asas tetapi dalam zaman Internet ini anda boleh mendapat rujukan melalui jurnal yang disimpan secara atas talian. Perpustakaan anda biasanya mempunyai laluan untuk ke sumber tersebut. Tesis merupakan satu sumber yang sangat baik kerana tahapnya sesuai dengan tahap anda dan mempunyai maklumat terperinci mengenai radas yang digunakan dan lain lain. Institusi penyelidikan juga mempunyai laporan laporan teknikal yang boleh menolong anda dan kebanyakan institusi mempunyai perpustakaan sendiri.

Rumusan

Kajian literatur anda patut dimulakan dengan bahan bahan asas mengenai tajuk anda. Proses ini harus dilakukan sepanjang kajian. Beberapa sumber maklumat boleh digunakan untuk mengumpul data dan hasil penyelidikan lain.

Ada suatu kisah benar yang mana seorang pelajar membentangkan kajian kakisan. Oleh kerana proses kakisan mengambil masa yang lama, pengukuran yang buat dalam masa satu semester tidak menunjukkan perubahan yang nyata. Malah nilainya terlalu kecil sehingga boleh dianggapkan sebagai ralat pengukuran dan alasannya ialah ujikajinya memakan masa terlalu lama.  Jelas di sini bahawa rujukan kepada kajian lampau tidak dijalankan dengan teliti. Bagi pelajar ini, penulis hanya memberi markah kerana kejujurannya yang tidak mengubah data. Bab 5 mengandungi cara cara lazim merekabentuk model kajian. Cara yang sesuai boleh dipilih berasas-kan kajian literatur yang anda  telah lakukan.

Latihan

4.1       Senaraikan jenis jenis rujukan yang anda telah buat.

 

4.2       Dari apa yang anda telah baca, tuliskan ringkasan setiap kata petunjuk atau ‘keyword’ dalam tajuk tesis anda.

 

4.3       Sediakan jadual seperti dalam Jadual 4.1 bagi artikel artikel yang anda telah baca. Dari komen dalam jadual, bandingkan dengan Objektif, Skop dan lain lain dalam Cadangan kajian anda. Ubah jika perlu.

to top